
Penganugerahan Diploma 'Aliyah Qira'at Al-Quran kepada para graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) adalah sebagai pengiktirafan atas kejayaan para siswa-siswi khusus dalam bidang Hafazan Al-Quran dan ilmu Qira'at.
Sehubungan itu, seramai 27 graduan ITQSHHB menerima Syahadah (Sijil) Diploma 'Aliyah Qira'at mereka pada Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-13 ITQSHHB yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.
Berangkat menyempurnakan Penganugerahan Syahadah Diploma 'Aliyah Qira'at tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Lembaga ITQSHHB; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj ITQSHHB dan Pemangku Pengetua ITQSHHB, Awang Zul Husni bin Sulaiman.
Majlis dimulakan dengan persembahan Hafazan Ayat-ayat Suci Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat 13 hingga ayat 15 dengan Riwayat Qolun dan Warsh dari Imam Nafi', Riwayat As-Susi dari Imam Abu 'Amru, bacaan Imam Hamzah dan bacaan Imam Al-Kisaie, yang dibacakan oleh Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin, dan Awang Naufal Darwisy bin Abdullah, sementara inti sari ayat disampaikan oleh Awang Ahmad Hamizan @ Ahmad Aliridha bin Haji Laidin.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya, antara lain menyembahkan, dengan lulus pengajian peringkat Diploma 'Aliyah Qira'at mereka adalah menjadi sebahagian daripada seramai 268 orang graduan yang telah lulus pengajian peringkat Diploma 'Aliyah Qira'at sejak ia diperkenalkan 15 tahun yang lalu, dan graduan-graduannya itu merupakan huffaz iaitu mereka yang hafaz 30 juz Al-Quran dan berkelulusan yang setaraf dengan Diploma Kebangsaan (National Diploma).
Tambah Yang Berhormat, daripada sejumlah 268 orang itu bermula dari tahun 2016 hingga ke tahun 2025 ini ada seramai 82 orang adalah penerima Ijazah Khas Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), yang diperakukan oleh Jawatankuasa Tasme' Kebangsaan.
Jelas Yang Berhormat lagi, adalah sangat menarik bahawa dari seramai 27 graduan hari ini 25 orang akan menyambung pelajaran, 17 ke Syubra, Mesir termasuk seorang penerima Sultan's Scholar dan seorang masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), tujuh orang ke UNISSA, yang meneruskan keluar negeri lima orang antaranya adalah penerima biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama, sementara itu seorang lagi memilih menyertai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebagai rekrut.
“Sesungguhnya, pengajian di ITQSHHB akan terus meningkat dan berkembang. Bermula pada tahun hadapan ia akan melahirkan graduan yang kelulusannya bertaraf Diploma Tertinggi Kebangsaan dengan penaiktarafan pengajian Diploma 'Aliyah Qira'at menjadi Diploma Tertinggi 'Aliyah Qira'at sejak tahun 2023, dua tahun yang lalu," ujar Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, dengan penaiktarafan pengajiannya itu mengukuhkan lagi statusnya sebagai Institut Tahfiz yang diiktiraf sebagai Ma'had Tahfiz Al-Quran Mithali (yang ideal), dan telah menerima anugerah berprestij tinggi bidang pengajian hafazan Al-Quran iaitu Anugerah Antarabangsa His Majesty King Abdullah bin Abdul Aziz Al-Saud.
Pengiktirafan itu terang Yang Berhormat, menjadikannya mercu tanda pengajian hafazan Al-Quran di negara ini, iaitu pengajian yang bersistem, bermutu tinggi dan penubuhannya telah mendatangkan impak positif kepada masyarakatnya.
Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga berkenan mengurniakan sabda, dan setelah itu berkenan menyempurnakan pengurniaan penganugerahan Diploma 'Aliyah Qiraat kepada 27 orang graduan, iaitu 19 orang siswa dan lapan orang siswi ITQSHHB.
Pengurniaan syahadah Diploma 'Aliyah Qira'at kali ini terdiri daripada 10 orang penerima pangkat Mumtaz (Cemerlang); sembilan orang penerima pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik); dua orang penerima pangkat Jayyid (Baik); dan enam orang penerima pangkat Maqbul (Lulus).
Majlis diteruskan dengan ucapan dari wakil graduan Diploma 'Aliyah Qira'at, Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd. Salleh, dan seterusnya bacaan Saiyyidul Istighfar dikumandangkan oleh kumpulan siswa tahun satu Diploma 'Aliyah Qira'at.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar kenangan bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Haflut Takharruj ITQSHHB Kali Ke-13 serta graduan yang diraikan.
Haflut Takharruj ini diadakan adalah bagi meraikan graduan Diploma 'Aliyah Qira'at dan sekali gus merealisasikan visi institut berkenaan sebagai sebuah institusi tahfiz dan perkembangan Al-Quran yang terunggul di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.
Penubuhan ITQSHHB adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-46 pada 15 Julai 1992.
Pada hari Jumaat, 8 Rejab 1413 bersamaan 1 Januari 1993, ITQSHHB secara rasminya ditubuhkan dengan pengambilan pertamanya seramai 45 orang pelajar pertama.
ITQSHHB merupakan sebuah institusi Pengajian Tahfiz Al-Quran di peringkat diploma, peringkat menengah dan pengajian hafazan bagi orang awam, dan pengajian hafazan bagi orang berkeperluan khas (orang kurang upaya penglihatan) yang menggabungjalinkan hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu Al-Quran sebagai dasar di samping mata pelajaran yang lain.
Pada bulan Ogos 2010, ITQSHHB maju setapak lagi dengan penubuhan Program Diploma 'Aliyah Qira'at, dan sehingga kini, ITQSHHB telah pun melahirkan seramai 268 orang graduan Diploma 'Aliyah Qira'at dari tahun 2014 hingga sekarang.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto